Ikuti cerita Ismadi (bukan nama sebenar):
Saya berusia awal 30-an dan mempunyai seorang isteri bernama Ayu (bukan nama sebenar), seorang pegawai di sebuah syarikat komunikasi.
Kami sudah 11 tahun berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan berusia 6, 8, 10 tahun.
Di peringkat awal perkahwinan, kami amat bahagia, tambahan pula kami berkahwin atas dasar cinta sama cinta dan direstui keluarga.
Ayu seorang isteri yang baik, lemah lembut dan ibu yang cemerlang buat anak-anak saya. Pendek kata lima tahun di awal perkahwinan, memang kami amat bahagia.
Di mata saya, Ayu seorang wanita, isteri dan ibu yang sempurna. Saya amat bahagia memiliki Ayu sebagai isteri dan berharap kebahagiaan kami akan berterusan sampai ke ahkhir hayat.
Tapi mendung tidak selalunya akan cerah, panas yang saya harap sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Rumah tangga kami mula goyah apabila Ayu bertemu semula dengan bekas teman lelakinya yang juga kawan baik saya ketika di sekolah menengah.
Lelaki itu juga adalah bosnya. Saya tidak tahu bekas kawan sekolah saya itu yang saya panggil Iwan (bukan nama sebenar) adalah bos Ayu.
Selama ini, Ayu tidak pernah bercerita dengan saya tentang Iwan sehinggalah pada satu majlis kami bertemu dan Ayu memperkenalkan Iwan kepada saya sebagai bosnya.
Seronok bertemu kawan lama yang telah berbelas-belas tahun tidak berjumpa, saya minta Iwan tolong tengok-tengok Ayu semasa di pejabat, memberi tunjuk ajar dan menasihatinya apay yang perlu atas dasar seorang kawan.
Iwan masih bujang, Alasannya tidak ada calon sesuai untuk dijadikan teman hidup walaupun usianya sebaya dengan saya. Hubungan kami terus mesra selepas pertemuan itu.
Iwan selalu datang ke rumah dan kami juga selalu pergi bercuti bersama. Dia juga mesra dengan anak-anak saya.
Tapi saya terlupa, yang Iwan itu masih bujang. Persahabatan kami telah disalah guna oleh Iwan untuk menggoda Ayu.
Saya tidak tahu apa yang dia lakukan tetapi enam bulan setelah kami bertemu, saya nampak Ayu banyak berubah. Dia menjadi pendiam apabila di rumah, kerja rumah juga semakin terabai dan anak-anak selalu dimarahinya.
Pada masa yang sama, Ayu selalu tidak ada di rumah pada hujung minggu, alasannya ada acara, jumpa klien dan sebagainya. Pada hal, dulu walau sibuk macam mana sekali pun, dia tidak akan melupakan rumah tangga dan anak-anak.
Satu hari, dia memberitahu saya bahawa dia akan ke utara tanah air untuk satu acara syarikat. Saya izinkan sebab dia beritahu akan pergi bersama Iwan. Memang saya tidak syak apa-apa.
Tiga hari setelah dia pergi, saya berjumpa teman sepejabatnya di sebuah kafe. Saya bertanya kenapa dia tidak ikut sama isteri saya ke utara, sedangkan sebelum ini mereka selalu outstation bersama. Dia terkejut dan berkata ke mana? Ada apa?
Lalu saya ceritakan kepada dia apa yang Ayu bagi tahu saya. Terkejut teman pejabat Ayu dengan cerita saya. Dia mengajak kami duduk dan kami minum sambil bercerita hampir dua jam.
Akhirnya saya tahu tembelang Ayu. Selama ini, dia berbohong dengan saya. Mujur ada teman pejabatnya yang membuka rahsia. Saya berterima kasih kerana dia sudi bercerita perkara sebenar kepada saya walaupun dia berkali-kali minta maaf dan berkata bukan niatnya hendak membuka aib orang.
Saya amat sedih dengan cerita yang saya dengar itu. Saya tidak sangka Ayu boleh memperbodohkan saya dengan pelbagai cerita rekaannya untuk membolekan dia bersama bekas teman lelakinya bersuka ria.
Atas maklumat yang diberi rakan pejabat Ayu, saya bergerak ke utara bersama seorang sepupu untuk menjadi saksi sekiranya benar apa yang berlaku.
Memang benar sekali. Saya melihat sendiri Ayu dan Iwan dalam keadaan begitu mesra di sebuah resort. Hampir pengsan saya dibuatnya, tetapi disabarkan sepupu.
Saya tidak menegur mereka tetapi menunggu masa untuk bersua muka. Saya tinggalkan nota di bahagian check-in meminta bertemu mereka di coffee house tanpa memberitahu siapa.
Tetpat waktu yang dijanjikan, kedua-duanya muncul seperti pasangan suami isteri. Saya menunggu mereka duduk dan datang lima minit selepas itu.
Saya memberi salam. Terkejut Ayu dan Iwan tanpa menjawab salam saya. Kedua-duanya bangun. Terkebil-kebil mereka melihat saya dan sepupu di depan mata.
Ayu cuba berkata sesuatu tetapi saya tidak mahu melayannya.Saya memberitahu mereka semuanya akan diselesaikan di rumah. Saya bagi tempoh tiga hari untuk mereka berterus terang apa sebenarnya hubuyngan mereka.
Kepada Ayu, saya beritahu yang rahsianya sudah terbongkar. Dia bukan datang bekerja tetapi untuk berehat bersama kekasihnya itu. Iwan dan Ayu cuba menjelaskan keadaan, tapi saya tidak peduli lagi.
Saya tidak sanggup lagi mendengar pembohongan mereka. Saya tidak mahu jadi suami dayus. Ayu menangis dan memegang kaki saya minta ampun tapi saya nekad. Saya akan lepaskan dia.
Kepada Iwan, saya kecewa sebab dia menjadi penceroboh dalam rumah tangga saya. Saya harap dia menjaga Ayu tetapi dia menggoda isteri saya hingga lupa pada tanggung jawabnya.
Di hadapan sepupu, saya jatuhkan talak buat Ayu. Itulah keputusan saya.Biar dia menangis, meraung, saya tidak ambil kisah lagi sebab dia telah curang pada kesetiaan saya. Semoga Allah melindungi dia.
TAMAT kisah Ismadi. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua. Kepada para suami, jagalah isteri anda sebaiknya, jangan terlalu melepaskannya kerana wanita ini insan yang lemah, mudah terpengaruh jika terkena caranya. Sekian
sumber: utusanmalaysia sabtu 081011
0 comments:
Post a Comment