Sunday, October 9, 2011

Suspek Kes Dadah Mati Terjatuh Bangunan

0

Seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes dadah terbunuh selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis di Klang, Selangor hari ini.


Dalam serbuan sama, tiga lagi suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia berumur 30 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata dalam kejadian jam 9.25 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang menyerbu bilik yang didiami lelaki berkenaan tetapi penghuninya enggan membuka pintu menyebabkan polis cuba memecah masuk dengan menendang pintu itu.


Beliau berkata kira-kira 10 minit kemudian pintu bilik dibuka oleh seorang wanita warga Indonesia dan ketika polis membuat pemeriksaan, lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai telah terjun dari tingkap tandas bilik hotel ketika cuba mengelak daripada ditahan.


"Pengurus hotel bertugas yang turut serta dalam serbuan itu kemudian menemui mayat lelaki berkenaan di pelantar tingkat dua dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.


"Turut ditemui di sebelah mayat lelaki yang hanya memakai seluar jeans itu ialah beberapa paket dadah jenis syabu dan pil-pil ecstacy," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.


Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang mendaftar masuk ke hotel berkenaan semalam mempunyai dua rekod kesalahan lalu iaitu membabitkan dadah dan curi motosikal.
Mohamad berkata pemeriksaan di bilik itu turut menemui beberapa paket dadah dan kunci kereta.


Siasatan polis seterusnya menemui sebuah kereta jenis Iswara Aeroback merah yang diletakkan di tepi jalan berhadapan hotel itu dan pemeriksaan menjumpai dadah jenis heroin seberat kira-kira 400 gram di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta itu, katanya.


Mohamad berkata dalam serbuan berkenaan, polis terlebih dahulu menahan dua suspek lelaki berumur 30 dan 50 tahun di bilik berdekatan bersama beberapa paket dadah dan kedua-dua mereka dipercayai mengenali lelaki serta wanita Indonesia itu.


"Dua suspek terbabit dan wanita Indonesia itu kini ditahan serta disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Design by ThemeShift | Bloggerized by Lasantha - Free Blogger Templates | Best Web Hosting