Monday, September 12, 2011

Moga Safee Sali Berjaya Tempatkan Diri Bersama Cardiff City

0

Peluang untuk mengukir nama sebagai pemain Malaysia pertama beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris kini terbuka luas buat Mohd Safee Sali namun penyerang sensasi itu tidak mahu terlalu cepat dibuai dengan angan-angan tinggi itu.


Biarpun menyifatkan dirinya kini sudah cukup bersedia untuk menempuh satu lagi fasa baru dalam karier bola sepaknya, Safee, 27, hanya mahu memberikan aksi terbaik sepanjang dua minggu menjalani ujian percubaan bersama kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City dan tidak mahu terlalu memikirkan sejauh mana peluangnya untuk memikat pengendali kelab, Malky Mackay.



“Memang saya berharap untuk berjaya dalam sesi ujian dan mendapat tempat dalam kelab itu tapi saya tidak mahu terlalu memikirkan sama ada boleh berjaya ataupun tidak. Apa yang perlu saya lakukan terlebih dulu adalah mencuba yang terbaik.


“Bukan mudah untuk saya mendapat peluang ini walaupun ia hanya sesi ujian percubaan, bagi saya tempoh dua minggu itu akan saya gunakan sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuan serta menimba pengalaman baru,” katanya yang dihubungi semalam.



Safee, pemenang kasut emas ketika membantu Malaysia menamatkan penantian kejuaraan Piala Suzuki AFF Disember lalu mendapat lampu hijau daripada pihak pengurusan kelab Pelita Jaya FC untuk menjalani ujian percubaan dengan kelab Wales itu bermula hari ini sehingga 27 September depan.


Penyerang kebangsaan itu adalah pemain Malaysia kedua mendapat tawaran oleh kelab yang dimiliki ahli perniagaan dari Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee selepas kapten kebangsaan Safiq Rahim. Namun Safiq terpaksa menangguhkan hasrat itu seketika kerana masih terikat dengan komitmen bersama Selangor bagi mengharungi kempen Piala Malaysia yang kini sedang rancak berlangsung.


Jika berjaya pada sesi percubaan, Safee bakal ditawarkan kontrak untuk menyertai kelab The Bluebirds itu yang kini menduduki tangga keenam liga selepas enam perlawanan.


Namun cabaran itu bukan semudah yang disangka dan penyerang kebangsaan itu bersedia untuk mengharungi corak permainan Inggeris yang cukup terkenal dengan kepantasan dan fizikal.

Rakyat Malaysia, berilah sokongan padu kepada hero bola sepak Harimau Malaya, Safee Sali!!




sumber: metro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Design by ThemeShift | Bloggerized by Lasantha - Free Blogger Templates | Best Web Hosting