Sunday, September 18, 2011

Kanak-Kanak Malang Lemas Dalam Perigi

0

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam hampir enam meter di Kampung Binjai Manis, Manir di sini hari ini.


Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Muhammad Adam Iskandar Mohd. Jais dikatakan keluar bermain bersama seorang sepupunya, Mohd. Syafiq Shakir, 1, di luar rumah.



Bagaimanapun, bapa mangsa, Mohd. Jais Muda, 40, dan datuk mangsa, Mamat Abdullah, 68, yang baru pulang dari menoreh getah terserempak dengan Mohd. Syafiq yang pulang berseorangan ke rumah sambil menangis teresak-esak.


Mereka yang pada mulanya hanya menyangka dia menangis akibat digigit pacat mula panik apabila menyedari mangsa tiada di rumah.


Menurut nenek mangsa, Zainon Ismail, 68, berikutan itu, bapa dan datuk mangsa terus menuju ke belakang rumah berdekatan sebuah perigi lama yang tidak dipagar dan dilingkungi semak-samun.


"Sebaik sahaja sampai di perigi yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah, datuk mangsa terus terjun ke dalam dan menemui cucunya.


"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Telemung," katanya.


Dalam pada itu, Mamat memberitahu, cucunya itu ada meminta bapanya untuk membeli seluar jeans baru hari ini namun tidak menyangka hasratnya tidak dapat ditunaikan.


"Memang hari ini, bapa dia hendak bawa ke bandar untuk membeli seluar baru kerana sudah beberapa kali dia minta.


"Namun, tidak sangka pula begini pula jadinya," ujarnya yang berjanji akan memasang pagar di sekeliling perigi itu kelak.



sumber: utusan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Design by ThemeShift | Bloggerized by Lasantha - Free Blogger Templates | Best Web Hosting